Peringkat-peringkat melahirkan anak
Pelahiran dibahagikan kepada peringkat pertama, kedua dan ketiga. Dalam peringkat pertama pelahiran, leher rahim – serviks – akan mengembang hingga 10 sentimeter dan ianya terbahagi kepada tiga fasa, awal, aktif dan peralihan.
Fasa awal
Fasa awal kadang-kala dinamakan sebagai tempoh terpendam atau prapelahiran. Uterus mula mengecut atau menegang dengan tepat. Kontraksi akan menjadi lebih sakit, bukan seperti kontraksi Braxton Hicks yang tidak kekal dan tidak sakit. Setiap wanita mempunyai ritma dan rentak pelahirannya sendiri. Sesetengah daripada mereka mungkin tidak sedar akan kontraksi awal dan hanya menyedarinya apabila serviks mereka telahpun mengembang beberapa sentimeter. Apabila serviks mula membuka, posisinya dalam pelvis anda akan berubah iaitu bergerak ke hadapan. Ia akan menjadi lembut dan memberi, yang bermakna ia akan menjadi lebih nipis dan lebih anjal. Sentuh hidung anda: ia keras dan berotot. Sekarang, sentuh bibir anda: ia lembut dan meregang. Serviks anda pada mulanya akan keras seperti hidung anda dan kemudian menjadi lembut dan meregang seperti bibir anda.
Apa yang anda boleh lakukan
Anda mungkin boleh membuat kerja ringan dalam rumah, keluar bersiar-siar, menonton DVD, mandi air panas atau tidur sebentar. Relaks sebanyak yang anda boleh. Makan snek ringan dan minum banyak cecair. Ingat untuk selalu membuang air kecil. Jika anda sukar menghadapi kontraksi, cuba gunakan urut, teknik-teknik berelaks, mandi air panas di samping cuba mencuba beberapa posisi yang anda rasa selesa. Jika anda mahu menggunakan mesin TENS, gunakan semasa fasa awal sebab kesan yang terbaik adalah apabila ia digunakan pada permulaan pelahiran.
Fasa aktif
Mengikut doktor, anda berada dalam pelahiran aktif apabila serviks anda telah mengembang atau membuka sehingga empat sentimeter. Kontraksi anda akan menjadi lebih kuat dan kerap. Ia juga akan menjadi lebih panjang. Lama-kelamaan, ia akan menjadi semakin kerap iaitu setiap tiga hingga empat minit dan berlangsung selama kira-kira 60 saat – dan berasa sangat tegang.
Apa yang anda boleh lakukan
Anda perlu ke hospital apabila anda dan teman pelahiran anda merasakan anda akan lebih selesa di situ berbanding di rumah. Kontraksi akan dirasakan seperti datang bertindih-tindih. Cuba bekerjasama dengan badan anda. Apakah yang ia cuba beritahu anda? Adakah anda akan berasa lebih selesa dalam posisi yang lain? Adakah anda perlu mengambil minuman atau sedikit makanan untuk mendapatkan tenaga? Adakah anda perlu ke tandas? Adakah anda memerlukan maklumat lanjut daripada doktor anda untuk menyenangkan hati anda?
Latihan pernafasan dan teknik-teknik berelaks menjadi amat berguna pada masa ini dan suami anda boleh membantu dengan mengingatkan bagaimana untuk melakukannya. Anda boleh cuba mengambil sedikit gas dan udara untuk menentukan sama ada ia boleh digunakna untuk mengurangkan kontraksi.
Jika air ketuban anda tidak pecah, cuba mandi air panas – air panas akan membantu anda dengan mengurangkan rasa sakit pelahiran.
Kadang-kala, dalam pelahiran, serviks akan mengembang secara perlahan-lahan atau berhenti terus. Cuba ubahkan persekitaran anda; berjalan-jalankan di sepanjang koridor hospital boleh membantu anda (anda mungkin memerlukan bantuan untuk berjalan dan mungkin anda memerlukan sandaran semasa mengalami kontraksi). Jika anda terlalu letih untuk berjalan, anda boleh meminta suami anda mengurut anda untuk membantu anda relaks. Duduk atau baring di bahagian sisi anda. Kadang-kala, menangis akan mengurangkan tekanan emosi dan membantu anda "melepaskan" perasaan. Jika air ketuban anda belum lagi pecah, doktor anda mungkin akan mencadangkan untuk memecahkannya akan mempercepatkan pelahiran. Berwaspadalah sebab apabila air ketuban telah tiada, kontraksi akan menjadi lebih sakit.
Jika anda mendapati bahawa perkara yang anda lakukan untuk membantu anda tidak dapat mengurangkan kontraksi, anda boleh memilih untuk mengambil petidina atau epidural.
Peralihan
Semasa fasa peralihan, serviks mengembang dari lapan hingga 10 sentimeter. Kontraksi akan berlarutan sehingga satu setengah minit dan berlaku setiap dua hingga tiga minit. Anda mungkin akan menggigil, menggeletar dan sakit. (Atau anda mungkin tidak berasa itu semua!) Kebanyakan wanita melaporkan bahawa mereka mengalami kontraksi yang sangat sakit, tekanan rektum dan dorongan untuk menolak. Selalunya di peringkat inilah kebanyakan daripada mereka akan hilang keyakinan diri walaupun mereka tetap mahukan pelahiran yang aktif atau normal. Pada masa inilah, galakan daripada teman pelahiran anda adalah penting.
Apakah yang anda boleh lakukan
Sentiasa beringat bahawa anda sudah hampir melahirkan. Gunakan masa antara kontraksi untuk berehat dan relaks. Semasa kontraksi, dapatkan posisi yang paling sesuai dengan anda. Pastikan pernafasan anda beritma seberapa yang boleh (tarik nafas melalui hidung anda dan hembus perlahan-lahan melalui mulut) dan jika anda mahu menjerit, meraung dan membuat bising – jangan teragak-agak, lakukan saja!
Peringkat kedua
Apabila serviks anda sudah mengembang sehingga 10 sentimeter, kerja dan keseronokan peringkat kedua akan bermula. Inilah peringkat pelahiran apabila rahim anda menolak bayi anda ke bawah vagina (kadang-kala dinamakan laluan pelahiran) ke dunia dan akhirnya, anda akan bertemu dengannya buat kali pertama. Selalunya terdapat masa rehat pada akhir peringkat pertama apabila kontraksi berhenti atau semakin jarang, dan anda dan bayi anda boleh berehat seketika. Apabila kontraksi bermula semula, anda akan merasakan tekanan dari kepala bayi anda antara kaki anda. Dengan setiap kontraksi dan setiap tolakan, bayi anda akan bergerak sedikit ke bawah melalui vagina anda, tetapi pada akhir kontraksi, dia akan bergerak ke atas semula! Jangan kecewa. Selagi kepala bayi anda terus bergerak ke bawah setiap kali kontraksi berlaku, anda boleh yakin bahawa anda menguruskan semuanya dengan baik. Apabila kepala bayi anda jauh ke bawah di pelvis anda, perineum (kawasan di antara rektum dan vagina) akan mula terbonjol. Dengan setiap kontraksi, setiap tekanan dari kepala bayi akan meregangkan perineum dan pembukaan vagina. Anda mungkin akan merasakan sensasi yang panas dan mencucuk, dan doktor anda akan mengatakan bahawa kepala bayi anda sudah mula "memuncak" atau kelihatan. Semasa kepala bayi anda mula keluar, doktor anda akan meminta anda berhenti menolak dan mencungap dengan perlahan-lahan. Ini membantu memastikan bayi anda dilahirkan dengan baik dan perlahan-lahan, dan akan mengurangkan risiko koyakan. Jika anda pernah bersalin sebelum ini, peringkat kedua mungkin akan mengambil lima atau 10 minit sahaja. Jika ini bayi pertama anda, selalunya ia akan mengambil selama satu jam tetapi doktor anda akan mahu menguruskan peringkat ini secara aktif supaya anda tidak perlu menunggu sehingga satu jam.
Apakah yang anda boleh lakukan
Turutlah badan anda dan tolak hanya apabila anda mempunyai dorongan yang kuat. Cuba jangan menahan nafas anda semasa anda menolak. Tolak selama mana yang anda mahu. Kemudian, tolak sekali lagi. Anda akan mendapati anda menolak beberapa kali (bukan hanya sekali) dengan setiap kontraksi. Cari posisi yang anda selesa tetapi beringatlah untuk cuba menggunakan graviti dengan berdiri, melutut atau mencangkung. Anda akan berasa sangat letih pada masa ini. Jika anda perlu berbaring, baring di sisi kiri anda. Ini akan menyediakan ruang yang lebih besar dalam pelvis anda bagi bayi berbanding dengan duduk atas katil sebab anda tidak menolak coccyx (tulang tongkeng) ke hadapan.
Jika anda mengambil epidural, dengarlah nasihat doktor anda mengenai bila masanya untuk menolak. Dia akan mencadangkan supaya anda tidak menolak sehingga dia dapat melihat kepala bayi anda muncul.
Peringkat ketiga
Apa yang berlaku
Pada peringkat ketiga, anda, anda akan melahirkan plasenta - sistem sokongan hidup bayi yang membekalkan bayi anda dengan nutrien dan mengeluarkan sisa buangan. Selepas bayi dilahirkan, kontraksi akan berterusan selepas beberapa minit tetapi sakitnya sudah berkurangan. Kontraksi ini akan menyebabkan plasenta terpisah dari uterus dan jatuh ke bawah ke bahagian bawah rahim anda. Anda mungkin akan berasa mahu menolak, tetapi tunggulah arahan dari doktor atau bidan anda. Plasenta, bersama membran bagi beg kosong berisi air akan turun ke bawah dan keluar melalui vagina anda. Doktor anda akan memeriksa plasenta dan membran tersebut untuk memastikan bahawa tiada yang tertinggal di dalam rahim. Dia akan memeriksa perut anda untuk melihat sama ada uterus anda mengecut dengan kuat untuk mengawal pendarahan di tempat plasenta terlekat.
Melahirkan plasenta selalunya mengambil masa dari lima hingga 15 minit sebab doktor anda akan menguruskan peringkat ini secara aktif untuk mengelak berlakunya pendarahan yang terlalu banyak. Kebanyakan wanita terkejut dengan betapa mudahnya untuk melahirkan plasenta berbanding dngan menolak bayi anda keluar. Anda akan dapat melihat organ yang menyokong bayi anda sepanjang kehamilan.
Apa yang anda boleh lakukan
Anda mungkin tidak sedar akan peringkat ketiga ini sebab fokus anda akan beralih kepada bayi anda. Memandang dan memegang bayi anda, dan memberikannya buah dada anda akan merangsang hormon yang membantu memisahkan plasenta.
Sekarang, apabila pelahiran telah berakhir, anda mungkin menggeletar, disebabkan adrenalin dan penyesuaian yang mula dilakukan oleh badan anda, atau anda akan berasa sangat seronok, sedia untuk mendukung bayi anda dan menari keliling bilik. Sesetengah wanita akan mendapati mereka sukar menumpukan perhatian kepada bayi mereka jika mereka telah mengalami tempoh pelahiran yang panjang. Ini tidak bermakna mereka kurang gerak hati keibuan; mereka hanya sangat keletihan. Jika ini berlaku kepada anda, berilah masa yang wajar. Selepas berehat, anda akan lebih berminat untuk mengenali bayi anda. Kebanyakan wanita akan berasa sangat lapar dan ingin mengambil snek dan minuman.
KopiPasta
With Love , RA
XOXO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan